Assalammualaikum

Ulul Albab: Yahudi gerun keturunan Rasulullah
Oleh Abdurrahman Haqqi

"SESUNGGUHNYA hak Rasulullah SAW tidak dapat ditunaikan oleh seseorang. Dan sesungguhnya Rasulullah SAW tidak meminta darimu lebih daripada mencintai kerabatnya! Dengan wajah apa engkau menghadap Nabi SAW ketika Baginda memberi syafaat bagimu di sisi Allah, walaupun balasan salah seorang cucunya, padahal Baginda tidak minta apa pun darimu kecuali hanya mencintainya." (Dr Muhammad Abduh Yamani, Pandangan Ahlussunah Terhadap Ahlul-bait, Terj., 35)

Ketika penulis berjalan di pusat beli-belah Alamanda di Putrajaya tidak lama dulu, penulis terserempak buku bertajuk Ahlul-bait (Keluarga Rasulullah SAW dan Kesultanan Melayu, susunan Tun Suzana Tun Othman dan Muzaffar Mohammad. Demi kecintaan kepada ahlul-bait, penulis membeli buku berkenaan.

Sememangnya ia sangat informatif dan bermanfaat. Semalam, sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran atas jasa yang tidak ternilai harganya, kita menyambut dengan meriah dan penuh khidmat Hari Keputeraan Rasulullah SAW di seluruh dunia.

Umat Islam merayakannya dengan pelbagai cara, ada dengan perarakan, zikir maulud, bacaan selawat, malah sebagai bukti negara kita adalah negara Islam, hari berkenaan dijadikan cuti umum setiap tahun.

Satu aspek yang jarang disentuh dalam kita memperingati Hari Keputeraan Rasulullah adalah tuntutan agama Islam dalam mencintai keluarga Rasulullah SAW. Dalam hadis disebutkan maksudnya: "Belum sempurna iman seorang hamba Allah sebelum cintanya kepadaku melebihi cinta kepada dirinya sendiri; sebelum cintanya kepada keturunanku melebihi cinta kepada keturunannya sendiri; sebelum cintanya kepada ahli-baitku melebihi cinta kepada keluarganya sendiri; dan sebelum cinta nya kepada zatku melebihi cinta kepada zatnya sendiri." (Riwayat at-Tabrani).

Hadis ini sebagai perluasan terhadap pemahaman ayat al-Quran yang bermaksud: "Nabi itu hendaknya lebih utama bagi orang Mukmin daripada diri mereka sendiri dan isterinya adalah menjadi ibu mereka." (Surah al-Ahzab: 6)

Dalam sistem khilafah atau kenegaraan Islam sepanjang sejarah, hal ehwal ahlul-bait dimasukkan dalam satu daripada jabatan sistem perkhidmatan awamnya. Ia membuktikan pentingnya mereka dalam Islam kerana mereka adalah titipan dan pusaka Baginda kepada umatnya. Nabi bersabda maksudnya: "Kutinggalkan di tengah kalian dua pusaka (peninggalan): Kitabullah sebagai tali terentang antara langit dan bumi, dan keturunanku. Kedua-duanya itu tidak akan terpisah hingga kembali kepadaku di Haud (Telaga Nabi di syurga)." (Hadis riwayat Ahmad)

0 Responses

Post a Comment